Oleh GARRET DAWUM
KUALA LUMPUR 7 Okt. - Keluarga pelakon Allahyarham AR Tompel membantah penyiaran rancangan biopik Saloma yang didakwa memperlihatkan sisi negatif pelakon popular zaman kegemilangan filem Allahyarham Tan Sri P. Ramlee itu.
Menurut salah seorang anak Allahyarham AR Tompel, Adlin Aman Ramlie, 41, setakat ini mereka telah menuntut pihak Astro selaku penyiar supaya menarik balik tayangan rancangan berkenaan di Astro First (saluran 480) yang memulakan tayangan pada 28 Ogos lalu.
"Bagaimanapun, sehingga kini tiada sebarang perkembangan dan biopik Saloma masih ditayangkan tanpa memikirkan sensitiviti di pihak kami, kaum keluarga arwah.
"Kami sekeluarga merasa terhina dengan paparan karakter AR Tompel yang digambarkan terlalu negatif dalam biopik berkenaan. Ia sesuatu yang tidak adil bagi insan yang telah meninggal dunia. Sebab itu, kami bersetuju untuk mengadakan satu sidang akhbar khas bagi mendedahkan lebih lanjut kepada pihak media mengenai apa sebenarnya yang berlaku, selain permintaan keluarga arwah terhadap penerbit biopik berkenaan," katanya kepada Utusan Malaysia.
Sidang akhbar berkenaan akan diadakan di Panggung P. Ramlee, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) pada pukul 3 petang Khamis.
Biopik Saloma diterbitkan oleh Kus Semangat Aktor Sdn. Bhd dan diarahkan oleh pengarah wanita yang juga pelakon Melissa Saila. Ia mengangkat kisah Allahyarham Puan Sri Saloma yang juga merupakan isteri kepada P. Ramlee dari sudut penceritaan adiknya, seniwati Mariani yang juga merupakan ibu kepada Melissa Saila. - UTUSAN ONLINE
Go to Source
No comments:
Post a Comment