GANDINGAN Vivian Hoo (kiri) dan Woon Khe Wei dipecahkan walaupun semakin menunjukkan keserasian setelah mencatat beberapa keputusan cemerlang di pentas antarabangsa.
KUALA LUMPUR - Meskipun baru sahaja digandingkan dengan Lim Yin Loo, pemain beregu wanita negara, Woon Khe Wei percaya dia mampu menyesuaikan diri dengan pasangan baharunya itu.
Khe Wei mengakui pada mulanya dia tidak begitu bersetuju dengan cadangan jurulatih, Rosman Razak untuk memecahkan gandingannya bersama Vivian Hoo kerana bimbang tidak dapat mencapai tahap keserasian yang telah diciptanya bersama gandingan lama.
"Perkara itu sudah diketahui sebelum Sukan Asia bermula dan ia adalah untuk melihat sama ada gandingan baharu ini akan memberikan hasil yang baik tetapi pada mulanya saya tidak bersetuju kerana bimbang tidak boleh sesuaikan diri.
"Mungkin ini adalah percubaan yang baik untuk kami semua, berkemungkinan gandingan baharu ini boleh memberikan hasil yang lebih baik pada masa akan datang dan buat masa ini kami semua mengikut sahaja percaturan jurulatih.
"Ini merupakan kali pertama saya bergandingan dengan Yin Loo dan saya percaya dengan kemampuan diri. Saya rasa saya boleh sesuaikan diri dengan sesiapa sahaja tetapi kalau boleh saya mahu berpasangan semula dengan Vivian," katanya ketika ditemui di Stadium Juara, Bukit Kiara, di sini semalam.
Khe Wei dan Vivian sebelum ini mempamerkan prestasi cemerlang dengan merangkul pingat emas Sukan Komanwel, selain memahat sejarah muncul beregu wanita pertama Malaysia meraih pingat Sukan Asia XVII selepas tempoh 44 tahun, namun Rosman tampil melakukan kejutan tersendiri apabila bertindak memecahkan gandingan itu.
Vivian kini tidak lagi bergandingan bersama Khe Wei sebaliknya dipasangkan dengan pakar beregu campuran Goh Liu Ying.
Keputusan Rosman memecah gandingan Vivian dan Khe Wei agak mengejutkan kerana mereka menunjukkan momentum yang cemerlang tahun ini, namun jurulatih berpengalaman itu menyifatkan eksperimen tersebut bertujuan mencuba beberapa gandingan baharu jika ada yang menonjol untuk diketengahkan.
Khe Wei menyatakan dia bersama Yin Loo akan menjalani fasa percubaan sehingga hujung bulan ini dan bakal menyertai beberapa kejohanan bagi melihat keserasian mereka.
"Kami akan beraksi di Terbuka Perak dan Grand Prix Terbuka Korea di Jeonju City selepas ini, tetapi saya tidak meletakkan sebarang sasaran untuk kedua-dua kejohanan ini.
"Kemungkinan saya akan kembali berpasangan dengan Vivian pada Terbuka China dan Terbuka Hong Kong pada hujung tahun ini," katanya.
Go to Source
No comments:
Post a Comment