NORDIN Ahmad dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Ipoh, semalam, selepas didakwa atas tuduhan menipu pada Disember lalu.
IPOH 7 Okt. - Helah seorang pesara tentera menyembunyikan diri di siling rumahnya di Jitra, Kedah, untuk mengelak daripada ditangkap polis, gagal apabila dia akhirnya berjaya diberkas semalam dan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini.
Nordin Ahmad, 52, yang pernah berkhidmat sebagai Sarjan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) sebelum ini pernah dikeluarkan waran tangkap selepas dia gagal hadir ke mahkamah pada 4 September lalu.
Lelaki itu didakwa atas tuduhan menipu membabitkan kerugian kira-kira RM30,000, Disember lalu.
Tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Madihah Harullah.
Mengikut pertuduhan, Nordin didakwa menipu Mohamad Firdaus Idris, 39, dengan cuba memperdayakan kononnya boleh mendapatkan projek membekal makanan bermasak kepada depot tahanan pendatang asing tanpa izin (PATI) di Juru, Pulau Pinang melalui Ketua Setiausaha, Kementerian Dalam Negeri (KDN).
Perbuatan Nordin mendorong mangsa memberikan wang berjumlah RM30,000 dalam bentuk wang tunai sebanyak RM5,000 dan cek CIMB Islamic berjumlah RM25,000 sebagai wang pendahuluan projek berkenaan kepada tertuduh.
Dia didakwa melakukan perbuatan itu di Jalan Sultan Idris Shah, Lumut, kira-kira pukul 4 petang, 14 Disember 2013.
Pertuduhan terhadap Nordin dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mukhriz Mat Rus mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 511 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun dan sebatan serta denda jika sabit kesalahan.
Mukhriz menawarkan jaminan sebanyak RM30,000 dengan seorang penjamin sebelum Madihah memerintahkan jaminan sebanyak RM20,000 dan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah.
Mahkamah menetapkan 7 November ini untuk sebutan semula kes.
Go to Source
No comments:
Post a Comment