Showing posts with label berita harian. Show all posts
Showing posts with label berita harian. Show all posts

Sunday, January 17, 2016

3 pelajar terkandas di Gunung Brik diselamatkan

BAU: Tindakan pantas pasukan mencari dan penyelamat telah berjaya menyelamatkan tiga pelajar politeknik yang terkandas di Gunung Brik dekat Kampung Tringgus di sini awal pagi tadi.

Jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat Bau berkata, tiga pelajar terbabit terkandas di atas gunung tersebut sementara seramai 57 orang berjaya turun dan sampai di kaki gunung di Kampung Tringgus.

Katanya, operasi mencari dan menyelamat membabitkan lima anggota bomba, dua pendaki, lima anggota JPAM serta beberapa penduduk kampung berjaya menemui ketiga-tiga pelajar terbabit pada 12.30 tengah malam.

"Setibanya pasukan bomba di tempat kejadian seorang daripada mangsa lelaki berusia 19 tahun dikenali sebagai Athanasius Petrus berketurunan Iban dalam keadaan lemah dan ditemani dua rakannya," katanya.

Beliau berkata, operasi membawa keluar mangsa bermula pukul 12.50 pagi dan tiba di Kampung Tringgus pukul 4.30 pagi dan diserahkan kepada pihak hospital.

- BERNAMA

Sindiket judi atas talian di Klang tumpas

ANTARA barangan yang dirampas dalam serbuan ke atas premis sebuah sindiket judi atas talian di Bandar Baru Klang malam tadi.

KLANG: Sebuah sindiket judi atas talian di Bandar Baru Klang, di sini, tumpas selepas premisnya diserbu anggota Cawangan Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, malam tadi.

Pegawai Turus D7 Selangor, Deputi Superintendan Abdul Ghofar Ahmad, berkata turut ditahan dalam serbuan Ops Dadu yang diketuai Asisten Superintendan Mohd Uzir Othman pada kira-kira jam 10 malam itu ialah seorang lelaki dan wanita warga tempatan yang dipercayai pengendali sindiket perjudian berkenaan.

Abdul Ghafor berkata, pasukan serbuan turut merampas beberapa peralatan dipercayai untuk tujuan perjudian atas talian iaitu lima komputer riba; 26 telefon bimbit; lapan mesin kira-kira; 48 buku bank; 100 kad mesin juruwang automatik pelbagai bank; tujuh buku cek; 13 kad kedatangan pekerja; dua modem; dan satu mesin cetak.

"Polis juga merampas satu perjanjian sewa premis berkenaan. Sindiket ini dipercayai menerima pertaruhan antara RM80,000 hingga RM100,000 dan mampu memungut antara RM2.4 hingga RM3 juta sebulan," katanya kepada pemberita.

Beliau berkata, dengan menggunakan laman sesawang Champion 188 dan BET CITY 88, pelanggan akan memasukkan wang ke dalam akaun yang dimaklumkan oleh sindiket berkenaan sebelum mereka diberikan nama pengguna dan kata laluan untuk membuat pertaruhan.

Katanya, mereka kemudian boleh mula berjudi dengan menggunakan telefon bimbit masing-masing.

Abdul Ghafor berkata, pelanggan mengetahui mengenai sindiket perjudian atas talian itu melalui risalah yang diedarkan menggunakan telefon bimbit yang turut menyertakan nombor telefon yang boleh dihubungi.

"Mereka dipercayai sudah beroperasi sejak Disember 2014. Kes ini disiasat mengikut Seksyen 6 (3) Akta Pertaruhan dan pasangan itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara untuk tindakan lanjut," katanya.

Thursday, January 14, 2016

Dua pelajar maut, 2 cedera lori hantu terbabas

KAJANG: Dua pelajar tingkatan satu sebuah sekolah menengah di Bandar Damai Perdana, Kajang maut selepas sebuah lori hantu terbabas sebelum melanggar beberapa kenderaan dan 15 motosikal diparkir di hadapan sekolah berkenaan, tengah hari tadi.

Dalam kejadian itu kira-kira jam 1 tengah hari, dua wanita yang kebetulan berada di situ turut dilaporkan cedera.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, berkata dua pelajar perempuan itu tersepit di bawah sebuah van NISSAN Vanette yang remuk selepas dirempuh lori hantu berkenaan yang dilaporkan menghadapi masalah brek.

"Bomba mengambil masa kira-kira sejam untuk mengeluarkan kedua-dua mangsa yang tersepit.

"Mangsa disahkan meninggal dunia dan mayat diserahkan pada pihak polis sebelum dibawa ke hospital," katanya, tadi.

PDRM pertingkat kawalan susulan serangan di Jakarta

ANGGOTA polis berlindung ketikaserangan bom di Jakarta. - Foto REUTERS

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menguatkan kesiapsiagaan serta meningkatkan kawalan dan pemantauan keselamatan di seluruh negara berikutan serangan bom di Jakarta, Indonesia, pagi tadi.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, berkata PDRM sememangnya sudah menempatkan pegawai dan anggota di kawasan yang dirasakan berisiko sejak beberapa insiden letupan yang berlaku sebelum ini namun ia ditingkatkan lagi susulan kejadian di negara jiran itu.

"Tumpuan kawalan kita adalah lokasi yang menjadi tumpuan ramai seperti pusat beli-belah dan kawasan pelancongan.

"Malah, penguatkuasaan di kawasan pintu masuk dan keluar sempadan juga ditingkatkan sebagai satu usaha mengekang sebarang cubaan serangan dan jenayah lain," katanya dalam kenyataan media, sebentar tadi.

Perumahan rakyat terus dapat perhatian

DATUK Seri Abdul Rahman Dahlan. - Foto Fariz Iswadi Ismail

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) memberi jaminan sektor perumahan rakyat akan diberi perhatian paling tinggi walaupun kerajaan bakal mengumumkan pengubahsuaian Bajet 2016 tidak lama lagi.

Menterinya, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan, berkata KPKT berharap supaya tiada pemotongan serius dibuat ke atas projek perumahan rakyat yang sedang giat dilaksanakan di seluruh negara.

Pertimbangan itu, katanya, disebabkan sektor perumahan adalah antara industri penting yang boleh menjadi pemangkin kepada ekonomi.

"Bagi setiap ringgit dibelanjakan dalam industri pembinaan, ada banyak kesan gandaannya kepada negara. Ia boleh menjadi pemangkin kepada ekonomi," katanya kepada media selepas menyampaikan ucaptama pada Seminar Pengurusan Strata anjuran Persatuan Pengurusan Bangunan Malaysia (BMAM) dan Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) di Petaling Jaya, hari ini.

Yang turut hadir ialah Presiden BMAM, Tan Sri Eddy Chen dan Presiden REHDA, Datuk Seri FD Iskandar.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dijadual mengumumkan butiran pengubahsuaian Bajet 2016 pada 28 Januari ini.

PM lancar Galeri Interaktif Memorial Tun Abdul Razak

PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bersama ibunya, Tun Rahah serta isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor melihat pelbagai gambar yang dipamerkan pada Seminar Khas Memperingati Tun Abdul Razak. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak sebentar tadi melancarkan Galeri Interaktif Memorial Tun Abdul Razak sebagai satu inisiatif baharu Arkib Negara Malaysia ke arah mendigitalkan semua galeri dan memorial di bawahnya pada masa depan.

Galeri interaktif berkenaan diilhamkan bagi menjadikan bahan yang bersifat pegun atau statik dapat dilihat oleh pengunjung sebagai satu bahan yang dinamik.

Ia juga bertujuan memberi impak dari segi penyampaian maksud dan pengetahuan sesuatu bahan dengan lebih jelas dan mudah difahami.

Perdana Menteri berkata, sejajar dengan kemajuan dan revolusi teknologi masa kini, galeri konvensional yang bersifat statik ini wajar dinaik taraf kepada galeri interaktif bagi meningkatkan tahap keberkesanan sistem penyampaiannya.

Katanya, kerjasama Jabatan Arkib Negara bersama Majlis Aspirasi Pemangkin Nasional (MAPAN), Media and Game Innovation Centre of Excellence dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) memberi nafas baharu pada pameran di Memorial Tun Abdul Razak.

"Ia satu inovasi yang baik dan akan dapat menarik minat golongan muda khususnya generasi Y supaya menghayati jasa dan pengorbanan tokoh negarawan seperti Tun Abdul Razak.

"Pelancaran galeri ini juga adalah satu sejarah tersendiri bagi Memorial Tun Abdul Razak yang mana hari ini genap 40 tahun kembalinya Allahyarham ke alam baqa.

"Marilah kita berdoa semoga roh Allahyarham ditempatkan dalam kalangan orang soleh," katanya ketika merasmikan galeri interaktif berkenaan di sini.

Ads Inside Post

Comments system

Disqus Shortname

Flickr User ID