Oleh SUFIAN HADI MOHD. SOJAK
sukan@utusan.com.my
KETUA kontinjen negara, Danyal Balagopal Abdullah (berdiri, tengah) bergambar bersama sebahagian atlet yang beraksi di Sukan Asia Incheon, Korea Selatan yang melabuhkan tirai temasya, Sabtu lalu.
KUALA LUMPUR - Ibarat rumah sudah siap, pahat masih berbunyi. Begitulah yang berlaku kepada kontinjen negara setelah selesai mengharungi gelora Sukan Asia selama 14 hari di Incheon, Korea Selatan dengan membawa pulang khabar duka selepas gagal mencapai sasaran.
Biarpun pahit untuk ditelan oleh ketua kontinjen negara, Datuk Danyal Balagopal Abdullah, namun perancangan masa hadapan demi pembangunan sukan tanah air perlu giat diteruskan tanpa perlu mengikut telunjuk negatif daripada pihak luar.
Katanya, sudah menjadi lumrah setiap kali tamatnya temasya mahupun kejohanan sukan apabila terdapat pihak yang lantang seperti 'yang arif' mahu menghukum dan memberikan tuduhan yang ada kalanya kurang berasas tanpa mengambil tahu perkara sebenar.
Bagaimanapun, Danyal hanya mengambil sikap berdiam diri dan mahu menumpukan kepada perangkaan seterusnya dengan melakukan post-mortem bersama Institut Sains Negara (ISN) dan semua jurulatih yang terlibat dalam temasya berkenaan pada 16 Oktober ini.
"Selalu saya tengok, tiap-tiap kali ada kejohanan atau temasya sukan, semua mahu jadi 'yang arif' tentang pembangunan sukan negara kita. Itu lumrah, semua negara macam itu.
"Bukan saya mahu salahkan sesiapa. Tetapi apabila terjadinya seperti ini, semua orang mahu campur tangan, semua orang mahu memberi buah fikiran. Namun, apabila kita jemput mereka untuk diberikan penerangan, tidak pula mereka mahu memberikan kerjasama.
"Buat masa ini, biarlah saya tumpukan kepada bedah siasat. Saya hendak buat laporan merujuk bukti dan faktor daripada pengalaman kami sendiri yang sepanjang masa berada di Incheon termasuk semua kakitangan yang terlibat selama lapan bulan bersama MSN," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, di sini semalam.
Kontinjen negara menamatkan kempen Sukan Asia dengan memungut lima pingat emas, kurang tiga daripada sasaran seperti yang ditetapkan dengan menduduki tempat ke-14 daripada 45 buah negara yang bertanding.
Pada edisi di Guangzhou, China empat tahun lalu, Malaysia meraih sembilan emas untuk menduduki tempat ke-10 daripada 45 negara bertanding dan ia merupakan pencapaian terbaik dalam sejarah penyertaan negara pada temasya empat tahun sekali itu.
Biarpun gagal mencapai sasaran lapan emas seperti yang ditetapkan, Danyal tetap berpuas hati dengan usaha dan kerja keras yang ditunjukkan atlet negara sepanjang temasya itu berlangsung, malah rata-ratanya memberikan aksi terbaik.
"Sebagai contoh, Syakilla Salni Jefry Krisnan yang mencipta kejutan walaupun dibelenggu kecederaan hamstring dan kejayaannya itu boleh dijadikan inspirasi kepada semua atlet," ujarnya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, harapan memungut lapan pingat emas musnah kerana apa yang berlaku di lapangan berbeza daripada yang dijangkakan pada peringkat awal.
"Secara keseluruhan memuaskan. Pada awal temasya saya tidak mahu kata kita tidak mencapai sasaran kerana ia boleh melemahkan semangat atlet. Ada sukan yang mencapai tahap terbaik dan ada juga sukan yang gagal," katanya.
Go to Source
No comments:
Post a Comment