Tuesday, October 7, 2014

Lupakan Incheon, fokus ke Rio de Janeiro

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
sukan@utusan.com.my



MASALAH kecederaan telah menyekat langkah Tan Boon Heong-Hoo Tien How untuk sekurang-kurangnya meraih pingat perak pada Sukan Asia di Incheon, Korea Selatan yang melabuhkan tirai temasya, Sabtu lalu. - BERNAMA



KUALA LUMPUR - Sukan Asia XVII di Incheon, Korea Selatan telah pun melabuhkan tirai temasya, Sabtu lalu dengan pencapaian sederhana dilakar oleh skuad badminton kebangsaan khususnya dalam saingan beregu lelaki, namun masih ada misi yang lebih besar hendak diburu iaitu Sukan Olimpik di Rio de Janeiro, Brazil yang akan berlangsung pada 2016.


Merangka strategi baharu, selain giat menjalani latihan merupakan fokus utama mereka dengan harapan pencapaian sederhana di Incheon dapat diperbaiki kepada satu catatan yang lebih cemerlang.


Gandingan beregu lelaki, Goh V Shem-Tan Wee Kiong sekadar meraih gangsa pada temasya itu selepas tewas kepada pasangan Korea Selatan, Lee Yong Dae-Yoo Yeon Seong di separuh akhir.


Sementara masalah kecedera­an telah menyekat langkah satu lagi pasangan Malaysia, Tan Boon Heong-Hoo Tien How untuk sekurang-kurangnya meraih pingat perak apabila hanya sempat beraksi selama enam minit menentang Liu Xiaolong-Qiu Zihan dari China di pusingan kedua ekoran kecederaan paha yang dialami Boon Heong semakin serius.


Bagaimanapun, kedua-dua pasangan itu merupakan pasangan yang paling konsisten dan fokus mereka kini terarah kepada mempersiapkan diri untuk meraih mata ke Sukan Olimpik 2016 bermula tahun depan.


Jurulatih beregu negara, Pang Cheh Chang ketika ditemui berkata, kedua-dua pasangan itu berada dalam perancangan skuad Olimpik 2016 tetapi perlu memperbaiki keadaan fizikal mereka terutamanya bagi pasangan Boon Heong-Tien How kerana mereka merupakan pasangan berpengalaman negara.


Bagaimanapun katanya, buat masa ini pihaknya akan mendapatkan nasihat daripada doktor mengenai kecederaan paha yang dialami Boon Heong bagi membolehkan mereka merangka startegi terbaik untuk memastikan pemain itu pulih secepat mungkin.


Dia mengakui Boon Heong-Tien How memiliki pengalaman yang luas tetapi pada masa sama kelebihan itu bukan menjadi kayu pengukur untuk mereka mencatat kejayaan besar kerana aspek kecergasan fizikal turut perlu diberi keutamaan.


"Buat masa ini kami akan beri tumpuan kepada Boon Heong dan mendapatkan nasihat doktor untuk memastikan dia pulih segera manakala Hoon (Tien How) akan kembali menjalani latihan. Kami akan mengadakan perbincangan untuk membina semula gandingan ini," katanya ketika ditemui di Stadium Juara, Bukit Kiara, di sini semalam.


Cheh Chang juga mahu Boon Heong-Tien How mengekalkan ren­tak permainan cemerlang kerana mereka kini berdepan saingan daripada para pemain muda terutamanya V Shem-Wee Kiong selain pemain-pemain lain.


Go to Source

No comments:

Post a Comment

Ads Inside Post

Comments system

Disqus Shortname

Flickr User ID