Wednesday, October 8, 2014

Syahdu terkenang arwah

Oleh NURFARHANA MOHAMED
Gambar KAMAL BASIR


AYAH pengantin lelaki, Ali Bakar (kanan sekali) rakan industri hiburan dan pengantin bergambar kenangan.



BERLANGSUNG sederhana, selain memberat dengan rasa syahdu di hati setiap hadirin yang datang. Meraikan pasangan pengantin, tetapi dalam masa yang sama mengenang seorang ibu yang telah pun pergi, tanpa sempat menyaksikan hari bersejarah satu-satunya anak tunggal yang didik penuh kasih sayang, sudah tentu girangnya berpada, cerianya bersukat.


Itulah ‘rasa’ yang boleh diungkapkan mengenai majlis resepsi anak tunggal kepada biduanita negara, Allahyarham Datuk Sharifah Aini, Aliff Omar Ali.


Aliff dan isterinya, Syarifah Nur Athirah Datuk Syed Azmi, bernikah pada 3 Oktober dalam satu majlis tertutup yang hanya dihadiri oleh keluarga terdekat. Bagaimanapun keesokan harinya, ada jemputan dilayangkan kepada pihak media yang terdiri daripada mereka yang pernah rapat dengan arwah ketika hidupnya.


Majlis persandingan yang berlangsung seawal pukul 12 tengah hari di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC), Sabtu lepas di hadiri seramai 1,00 tetamu yang terdiri daripada kaum keluarga dan kenalan rapat kedua-dua belah mempelai.


Pasangan mempelai tampak segak dan menawan dengan persalinan baju pengantin rona merah jambu masuk ke dalam ruang dewan tepat pada pukul 1.15 petang sambil diiringi dengan alunan selawat ke atas junjungan nabi.


Biarpun pada awalnya dilaporkan tiada majlis persandingan, namun pasangan mempelai turut dilihat duduk di atas pelamin tanpa sebarang upacara tepung tawar sebelum kemudiannya ke majlis makan beradab. Barangkali bagi menghormati permintaan keluarga, Aliff akhirnya memilih untuk akur dengan keadaan walaupun awalnya difahamkan tiada majlis persandingan di pelamin.


Sewaktu majlis makan beradab, tetamu disajikan dengan alunan muzik live band yang cukup mengasyikkan dibawakan khas oleh kumpulan The Siblings. Sewaktu majlis berlangsung, Ali Bakar dalam ucapannya menyelitkan nasihat buat anaknya itu agar sentiasa mengingati pesan orang tua-tua dan melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang suami demi menjaga keharmonian hidup berumah tangga.


“Ketika Aliff memberitahu saya, dia sudah mahu berkahwin, saya terkejut tetapi dalam hati ini penuh dengan rasa syukur. Akhirnya, dia sampai juga ke alam mendirikan rumah tangga,” kata Ali Bakar dalam nada hiba.


Tak lama selepas itu, majlis turut menjemput kenalan rapat Sharifah Aini iaitu Aishah Ali yang memberikan ucapan sebagai mewakili ibunda pengantin lelaki yang sudah pergi menghadap Illahi pada Ramadan lalu. Bahasa seorang sahabat kepada arwah yang cukup puitis dan syahdu didengari oleh seluruh hadirin dalam ucapan itu.


Suasana terasa hiba sejenak tatkala Aishah mengimbau kembali kenangannya bersama Sharifah Aini dan beberapa kata-kata yang masih diingatinya.


“Sewaktu arwah masih ada, dia selalu risau dan tertanya-tanya, bilakah Aliff mahu mendirikan rumah tangga. Arwah sangat teruja dan gembira setiap kali membayangkan Aliff akan mempunyai isteri sendiri. Akhirnya apa yang ‘mamanya’ inginkan itu berlaku juga hari ini.


“Sekiranya arwah ada bersama-sama, saya pasti dialah insan yang paling gembira saat-saat ini,” katanya dalam nada tersekat-sekat apabila kembali mengenang Sharifah Aini yang meninggal pada 5 Julai lalu.


Penyanyi tersohor itu meninggal dunia di Hospital Pakar Damansara KPJ akibat komplikasi paru-paru yang dideritai semenjak lebih dua tahun lalu.


Majlis itu turut diserikan dengan beberapa selebriti yang dekat dengan arwah, antaranya Datuk M.Nasir, Datuk DJ Dave, Salimah Mahmood, Joe Fllizzow, Azmil Mustapha, Uji Rashid, Herman Tino, Nash dan Datuk Dahlan Zainuddin.


Pada Jumaat lepas, tepat pukul 11 pagi, Aliff,32, yang merupakan seorang pelajar di Madinah dalam jurusan Pengajian Islam sah menjadi suami kepada Syarifah Nur Athirah, seorang doktor gigi.


Pasangan itu dinikahkan sendiri oleh bapa pengantin perempuan, Datuk Syed Azmi Syed Othman di hadapan jurunikah dan kadi, Ustaz Muhd. Ariffin Muhd. Dalhal dengan mas kahwin sebanyak RM300. Athirah, 28, turut menerima wang hantaran sebanyak RM11,000 selain lima dulang hantaran dan berbalas tujuh dulang daripada pihak perempuan.


Semoga pasangan ini kekal mentabdir rumah tangga dalam dakapan cinta Allah S.W.T jua hendaknya. Selamat pengantin baru!



Syahdu terkenang arwah

No comments:

Post a Comment

Ads Inside Post

Comments system

Disqus Shortname

Flickr User ID