Wednesday, October 8, 2014

'Saya bukan jutawan' - Hafiz

HAFIZ Hamidun anak muda yang punya misi dan visi hebat.



SEBUT sahaja Zikir Terapi Diri yang sudah masuk ke album ketiga, ramai yang bersetuju bahawa anak muda ini sudah mencapai sesuatu yang besar dalam memperjuangkan irama ini.


Walaupun sudah memasuki Zikir Terapi Diri 3 dan merupakan album terakhir berkonsep zikir miliknya, perjuangan Hafiz tidak hanya akan selesai di situ. Dia sudah memulakan langkah untuk menerbitkan album baharu, dengan elemen lebih komersial selepas ini.


“Bagi saya, cukup-cukuplah, ini yang terakhir. Setakat ini memang mendapat sambutan hangat, tetapi kalau boleh saya mahu mereka mendapatkan dari album pertama lagi, baru mereka faham konsep Zikir Terapi Diri yang ketiga yang baru dilancarkan ini.


“Selepas ini saya akan memberi fokus untuk album pop yang berunsur ketuhanan pula. Sebabnya saya tahu untuk lagu-lagu zikir, pihak radio sedikit tersekat untuk memutarkannya.


“Setakat ini album pop itu sudah mempunyai tiga lagu, dan mungkin pada tahun hadapan saya akan melancarkannya,” katanya pada majlis melancarkan album Zikir Terapi Diri 3, di Kuala Lumpur, baru-baru ini.


Kejayaan album Zikir Terapi Diri sejak jilid pertamanya memberi kejayaan hebat buat Hafiz sendiri. Walaupun kurang jadi pilihan untuk diputarkan di radio, kebanyakan zikir Hafiz dipilih penerbit drama tempatan untuk dimuatkan dalam drama mereka. Kelebihan ini juga dapat dilihat melalui perolehan royalti yang diterimanya kini.


“Saya sudah kira hampir 145 drama menggunakan zikir saya dalam drama mereka. Kalau ikutkan memang saya banyak mengutip royalti dari situ. Sebab itu saya tidak terkilan bila radio tidak dapat memutarkan zikir dari album-album ini.


“Tetapi bila ada yang mengatakan album ini menyebabkan saya menjadi jutawan, itu tidak benar. Saya bukan jutawan kerana syarikat milik saya yang memperoleh kelebihan itu. Dan, saya juga salurkan kembali keuntungan itu ke arah yang lebih baik, pihak yang memerlukan,” katanya.


Agak segan untuk dirinya disamakan dengan kejayaan kumpulan Raihan, sehingga ke hari ini Hafiz mengatakan dia tidak pernah menyamai kejayaan kumpulan itu. Masih banyak yang perlu dilakukan demi memastikan semuanya tidak akan berhenti di sini sahaja.


“Raihan bukan sahaja berjaya memulakan fenomena di negara kita tetapi di peringkat antarabangsa juga. Malah, sehingga kini saya masih belajar mencipta harmoni melalui lagu-lagu mereka. Jujurnya memang banyak pengaruh mereka ada dalam perjuangan saya hari ini.


“Di zaman Raihan semuanya berbeza dan kejayaan mereka juga luar biasa sekali. Setiap zaman menghasilkan cabaran yang berbeza, saya barangkali bernasib baik kerana laman sosial banyak membantu saya ke hadapan,” katanya.


Terpaksa lepas jawatan


Baru sahaja melepaskan jawatan sebagai pengarah di syarikat Arteffects balas Hafiz keputusan ini dibuat demi memastikan punya lebih ruang dalam bidang nyanyian. Walaupun masih mempunyai tanggungjawab dalam syarikat tersebut tugasnya tidak akan berkurangan memandangkan sudah merangka perniagaan baharu.


“Saya lepaskan jawatan sebagai pengarah, tetapi saya masih pemegang saham di syarikat tersebut. Saya akui memang sukar untuk membahagikan masa, sebelum ini juga saya ada beberapa kali berbalah dengan rakan kongsi akibat masalah yang sama. Jadi, adalah lebih baik saya lepaskan sahaja jawatan dan hanya memegang saham syarikat supaya lebih adil kepada semua.


“Selepas sini saya akan menceburi bidang fesyen pula. Apabila kita diletakkan menjadi ikon dan ada permintaan ke arah itu, mengapa tidak kita mencuba,” katanya penuh positif.


Masih kekal solo tanpa kekasih, Hafiz tidak dapat menyorok perasaan terkilan itu. Akibat terlalu sibuk dia jarang dapat meluangkan masa untuk mencari seorang suri dalam hidupnya. Positif dengan takdir yang menanti, kata Hafiz dia akan sabar menanti.


“Memang orang lihat kejayaan saya tetapi saya akui banyak pengorbanan yang perlu dilakukan. Terutamanya masa saya dengan keluarga malah dengan diri sendiri juga tidak sempat.


“Soal jodoh pula saya tidak mencari, tetapi kalau boleh saya mahu yang mempunyai pemikiran yang sama seperti saya. Saya fikir tidak mahu bercinta lagi sudah ada yang sesuai lebih baik kahwin sahaja,” katanya tersenyum.



'Saya bukan jutawan' - Hafiz

No comments:

Post a Comment

Ads Inside Post

Comments system

Disqus Shortname

Flickr User ID