Tuesday, October 7, 2014

Tiada perbezaan darjat

Oleh Aida Rizmariza Kamaruddin
Gambar Zakaria Idris



BENAR dia kini sudah diulit populariti sebagai seorang penyanyi, bagaimanapun itu bukan sebab buat gadis ini untuk melupai siapa dia di sebalik nama Adira. Kekal mengakui dia hanya gadis kampung, jelas Adira perubahan hidup kini hanya menyebabkan dia lebih bersyukur dengan kelebihan yang diberikan kepada diri. Bertemu dengan lelaki yang mempunyai latar belakang yang jauh berbeza dengan dirinya, kata Adira dia sendiri tidak sangka perbezaan itu tidak pernah melenyapkan cinta dalam hubungan mereka. Diterima baik keluarga Shahrul Nasrun Kamarudin, tiada apa yang mampu diucapkan gadis ini selain rasa berterima kasihnya kepada restu yang diterima mereka. Malah Shahrul yang juga Presiden Gerakan Belia Gagasan 1 Malaysia (GBG1M), sebelum ini juga sudah menjelaskan bahawa Adira atau nama sebenarnya Siti Adira Suhaimi, 23 diterima baik keluarganya.


Walaupun kini sudah hampir dua tahun hubungan mereka berlangsung baik, namun tiada tanda-tanda pasangan ini akan melangkah ke fasa baru hubungan ini. Bukan menolak jodoh balas Adira semuanya sudah dirancang dengan baik oleh yang maha Esa, sebagai hamba dia tahu tidak akan mampu dia melawan apa juga takdir. Cuma buat masa ini dia percaya belum ada rasa yang meyakinkan dia untuk ke arah itu.


"Memang kalau ikutkan latar belakang keluarga saya dan dia sangat berbeza, saya berasal dari kampung. Tetapi syukur keluarga dia tidak pernah melihat ini sebagai perbezaan, malah saya juga dilayan baik seperti ahli keluarga.


"Begitu juga Shahrul dalam keluarga saya, malah dia cukup disenangi ibu saya sendiri,"katanya.


Dalam mana-mana hubungan juga ada pasang surutnya, mahu melihat ini dari sudut positif kata Adira setiap persengketaan yang terjadi selalunya membawa lebih kefahaman buat mereka. Mana tidaknya dari situ mereka dapat lebih mengenali hati budi masing-masing.


"Tipulah kalau saya cakap saya tidak pernah bergaduh dengan dia. Tetapi semuanya tidak seteruk mana. Paling kuat seorang akan merajuk seorang lagi akan memujuk.


"Tetapi kalau fikirkan kembali memang perlu sebenarnya keadaan-keadaan seperti itu memandangkan kami berdua lebih memahami antara satu sama lain," katanya.


Bercakap tentang sisi pengorbanan yang perlu dilakukan Adira demi memastikan hubungannya ini berlangsung dengan baik, balas Adira itu tidak pernah wujud. Katanya lagi hubungan ini terjadi atas penerimaan masing-masing, malah sejak awal lagi kedua mereka tahu hanya kejujuran yang mampu memastikan hubungan ini kekal utuh.


"Tiada apa yang perlu dikorbankan kami, sebenarnya kami mengambil peluang untuk lebih memahami keadaan. Jadinya bila masing-masing tahu yang kedudukan masing-masing, mudah sebenarnya membawa diri dalam hubungan ini.


"Sebagai contoh kami berdua dikenali, jadi penting untuk diri masing-masing tahu agar jaga kelakuan, supaya tidak timbul cerita tidak baik,"katanya.


Timbul kisah dengan kesenangan yang dimiliki kekasih, Adira kononnya bernasib baik untuk selalu menerima hadiah berjenama. Malah ada yang mula mengira koleksi beg tangan yang dimilikinya. Tidak melawan untuk mengatakan dia mempunyai koleksi beg tangan berjenama namun kata Adira dia lebih senang untuk memberitahu kesemua itu datang dari hasil titik peluhnya.


"Saya tidak berkawan dengan seseorang kerana hartanya, malah saya tidak pernah minta apa-apa dari Shahrul. Sama seperti wanita lain di luar sana saya juga ada nafsu kepada barang-barang ini, tetapi lebih puas rasanya untuk membeli dengan wang sendiri.


"Saya mempunyai prinsip dalam hubungan, selagi dia bukan suami saya, jadi saya tidak layak untuk meminta apa-apa dari dia. Bukan apa susah nanti kalau apa-apa,"katanya.


Tekad diri


Hampir dua bulan dia tampil dengan imej terbaru, dia sendiri tidak menyangka dirinya begitu kuat untuk membuat keputusan ini. Bagi Adira mungkin bagi sesetengah pihak berhijab adalah perubahan imej, namun baginya makna sebenar itu jauh lebih besar.


"Pagi itu bila saya bangun tiba-tiba saya terus ingin mengenakan tudung. Saya tahu kalau saya ambil lewa perasaan ini sukar untuk mendapatkannya semula.


"Saya bulatkan hati saya terus pakai mulai pagi itu. Kalau ada yang mengalami mimpi atau petanda-petanda sebelum mengenakan tudung, itu bukan saya. Sebabnya saya hanya dihadiahkan perasaan indah itu sahaja,"katanya tersenyum.


Ditanya cabaran yang membelenggu gadis ini sepanjang dua bulan dia bertudung, kata Adira sesungguhnya dia dikurniakan kemudahan. Bagaimanapun katanya sebagai seorang insan, dia tahu nilai pembelajaran untuk mendapatkan kehidupan yang diredai masih lagi berjalan seperti biasa.


"Mungkin sebagai penyanyi perjalanan saya ini lebih mudah, bukanlah saya kata kala berlakon itu susah untuk bertudung. Cuma kalau dalam keadaan saya, tiada sekatan sangat.


"Ini hanya permulaan untuk ke suatu peringkat yang lebih baik, cumanya saya masih dalam proses pembelajaran dan saya masih harapkan sokongan,"katanya.


Hanya tersenyum bila ditanya adakah ini tanda-tanda awal perkahwinannya sudah dekat, kata Adira kalau itu berlaku, semuanya sudah ditakdirkan. Bagaimanapun dia bertegas tidak pernah membuat keputusan untuk bertudung hanya untuk berkahwin.


"Saya buat demi diri saya, jujurnya saya percaya sudah sampai masa untuk saya bertudung. Memandangkan ini perkara baik buat apa untuk ditangguhkan.


"Seperti yang saya katakan tadi saya belum fikirkan soal perkahwinan, cuma fokus saya kini adalah untuk menjadi seorang yang lebih baik pada masa hadapan,"katanya.


Go to Source

No comments:

Post a Comment

Ads Inside Post

Comments system

Disqus Shortname

Flickr User ID