Oleh IFQDAR RAHMAN
ifqdar.rahman@utusan.com.my
Gambar Nur Shazreen Zamzuri (Pelatih IKBN)
ALIF makin positif untuk maju ke hadapan dalam dunia seni.
HOLLYWOOD telah memberikan sejuta makna buat bintang kelahiran Akademi Fantasia musim kelapan (AF8) iaitu Alif Kadim apabila jejak kakinya di kota seni antarabangsa itu meninggalkan kenangan manis buatnya.
Mewakili negara ke pentas pertandingan bertaraf Olimpik sebagai salah seorang delegasi Malaysia ke World Championship of Performing Arts (WCOPA), Alif menzahirkan rasa bangga apabila berjaya menerima lapan pengiktirafan menerusi medal dan plak penghargaan yang diperolehnya.
Pernah dikritik oleh segelintir pemerhati industri muzik tanah air ketika berada dalam AF8 dahulu, kejayaannya di Hollywood membuktikan bahawa suaranya ketika menyanyi yang dikatakan dibuat-buat menjadi modal baginya melakar nama di peringkat dunia.
Ketika menjayakan sesi fotografi di Studio Utusan baru-baru ini, Alif berkata bahawa suaranya adalah asli, bukan sengaja dibuat-buat agar kedengaran seperti suara jantan.
"Apa yang saya miliki adalah anugerah Allah yang menciptanya. Saya aku sebelum ini ramai yang membandingkan suara saya ketika menyanyi dan berbual berbeza.
"Tetapi saya tidak rasakan ada perbezaan. Mungkin disebabkan ketika menyanyi, saya mempraktikkan teknik-teknik tertentu bagi menyerlahkan vokal saya, itu mungkin menjadi faktor yang membuatkan ia sedikit berbeza.
"Alhamdulillah, dengan kurniaan Allah ini, saya telah membuktikan bahawa suara ini adalah memang suara saya sendiri dan telah memberi kejayaan kepada saya di Hollywood," katanya kepada Hits menjawab segala kritikan yang diterimanya sebelum ini.
Mahu lebih dikenali
Berjaya merangkul satu pingat emas, lima perak, satu gangsa serta satu plak penghargaan, Alif memasang impian agar karier nyanyiannya terus berkembang maju suatu hari nanti.
Menurut anak kelahiran Cheras, Kuala Lumpur itu, dia sanggup menunggu lama untuk belajar bertatih dan menempuhi pelbagai liku agar cita-citanya untuk bergelar penyanyi terkenal dapat dicapai.
"Kemenangan di Hollywood tidak bermakna saya boleh mendabik dada dan mengatakan diri saya bagus, sebaliknya ia menjadi titik mula untuk saya lebih berusaha mempertingkatkan kualiti vokal saya dengan mengikuti kelas formal dan juga secara tidak formal.
"Cuma saya harapkan, dengan kejayaan ini ia mampu memberi harapan kepada saya dan kepercayaan buat komposer di luar sana untuk menggunakan khidmat saya menyanyikan lagu ciptaan mereka.
"Ya, populariti menjadi kecenderungan seseorang komposer dalam memilih penyanyinya tetapi saya percaya, bakat juga menjadi taruhan terbaik untuk sama-sama membantu satu sama lain melonjakkan diri dalam industri kreatif ini," katanya yang pernah keluar dengan single pertama ciptaan Edry Abd. Halim iaitu Bangun Semula.
Menyentuh mengenai perkembangan seni semasanya, Alif memberitahu bahawa dia mula sibuk mengumpul material untuk mengeluarkan single terbaharunya selewat-lewatnya pada penghujung tahun ini.
Katanya, selain fokus dalam bidang nyanyian, Alif turut menjinakkan diri dalam lapangan teater apabila dipilih untuk membintangi pementasan Gelanggang Tuk Wali yang akan dipentaskan di Auditorium Putrajaya pada 21, 22 dan 24 Oktober hadapan.
Go to Source
No comments:
Post a Comment