Wednesday, October 8, 2014

Zolkples diganti?

Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN
dayne.ghazali@utusan.com.my


ZOLKPLES Embong memegang jawatan selaku Ketua Pengarah MSN selama tujuh tahun, kini timbul spekulasi tempatnya akan diambil alih oleh individu lain.



KUALA LUMPUR – Tujuh tahun Datuk Seri Zolkples Embong memegang jawatan selaku Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) dan adakah selepas kegagalan di dua temasya terbesar di Sukan Komanwel Glasgow dan Sukan Asia Incheon pada tahun ini, maka satu revolusi perlu dilakukan dengan melantik muka baharu yang lebih berwibawa?


Dalam mendapatkan pengganti yang lebih berkaliber, mungkin sudah sampai masanya mana-mana individu yang dilantik tidak wajar diterhadkan daripada kalangan pegawai-pegawai MSN semata-mata dan calon itu boleh dipilih daripada pelbagai golongan sama ada dari sektor kerajaan atau swasta.


Idea ini difahamkan sedang diusahakan oleh Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, yang mahu jawatan Ketua Pengarah MSN dibuka kepada calon-calon yang difikirkan layak dan bersesuaian dalam usaha meneraju badan sukan negara itu ke tahap yang lebih kompetitif.


Berdasarkan maklumat yang diperolehi Utusan Malaysia, Khairy telah mengadakan perbincangan serius dengan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa sekiranya jawatan itu boleh dibuka kepada umum, walaupun sebelum ini nama Pesuruhjaya Sukan, Ahmad Shapawi Ismail sebelum ini ada disebut-sebut sebagai bakal pengganti Zolkples.


Perubahan drastik ini nyata dipersetujui oleh bekas Ketua Pengarah MSN, Datuk Wira Mazlan Ahmad yang berkata, ia akan menyuntik elemen kesegaran dalam pengurusan MSN di samping menjana idea baharu, walaupun melihat amalan melantik Ketua Pengarah daripada kalangan orang luar MSN bukanlah sesuatu yang asing.


“Melantik orang luar sebagai Ketua Pengarah MSN bukan satu perkara yang baharu dan bagi saya, langkah ini amat sesuai dipraktikkan pada masa sekarang dan saya rasa Menteri mengambil langkah yang betul dalam soal ini.


“Macam saya dulu pun, saya asalnya adalah Pegawai Tadbir Diplomatik (PTD) dan dipinjamkan ke MSN pada tahun 1983 selaku Timbalan Pengarah sehinggalah dilantik sebagai Ketua Pengarah (tahun 1993).


“Kelebihan melantik mereka yang bukan datang daripada kalangan MSN semata-mata mampu membantu Menteri mendapatkan calon terbaik dan lebih meluas daripada latar belakang yang berbeza.


“Sama ada dari sektor kerajaan atau swasta, itu bukan isunya dan terus-terang, saya memang sokong jika benar Menteri mahu mengambilh langkah sebegitu dan sudah sampai masanya angin perubahan perlu dilakukan di MSN,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.


WIRA Mazlan Ahmad



Bagi memastikan setiap Ketua Pengarah MSN baharu dinilai, Mazlan juga mencadangkan mereka hanya ditawarkan kontrak selama dua tahun dan lanjutan kontrak hanya layak diberikan sekiranya berjaya mencapai Indeks Prestasi Utama (KPI) yang ditetapkan.


“Mana-mana Ketua Pengarah MSN yang dilantik pada masa akan datang, saya rasa lebih baik mereka hanya ditawarkan kontrak selama dua tahun sahaja dan sekiranya Menteri tidak suka cara kerjanya, dia boleh digantikan dengan orang lain.


“Paling penting, KPI terhadap Ketua Pengarah MSN perlu diletakkan untuk memastikan gerak kerja dilakukan dan pemantauan dalam kalangan persatuan sukan mampu dilaksanakan dengan lebih menyeluruh,” katanya.


Hayat Zolkples di MSN semakin hangat diperkatakan apabila Khairy kebelakangan ini kerap membayangkan rombakan akan dilakukan ekoran pencapaian sukan negara yang gagal mencapai sasaran yang ditetapkan di Sukan Komanwel dan Sukan Asia, selain kemerosotan ketara dipamerkan pada sebahagian acara sukan berbanding empat tahun lalu.


Enam pingat emas sahaja mampu dijangkau di Sukan Komanwel Glasgow, kira-kira hilang separuh daripada 12 emas yang dimenangi di Sukan Komanwel 2010 New Delhi, sementara di Sukan Asia Incheon, lima emas sahaja dibawa pulang, kemerosotan berbanding sembilan pingat emas di Sukan Asia Guangzhou 2010 yang menunjukkan satu petanda Zolkples gagal menjalankan tanggungjawab dengan baik.



Zolkples diganti?

No comments:

Post a Comment

Ads Inside Post

Comments system

Disqus Shortname

Flickr User ID