Tuesday, January 12, 2016

Anakanda Tuanku Muhriz gering, program Hari Keputeraan diubah

Oleh Mohd Amin Jalil


bhnews@bh.com.my


SEREMBAN: Beberapa program sempena sambutan Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir ke-68, pada Khamis ini ditangguh dan dibatalkan.


Ini berikutan anakanda baginda, Tunku Alif Hussein Saifuddin Al-Amin, 32, gering dan dirawat di Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Cheras, Kuala Lumpur.


Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata perubahan itu terpaksa dilakukan kerana Tuanku Muhriz perlu bersama anakanda baginda.


Sehubungan itu, katanya, Istiadat Kawalan Kehormatan di Padang Besar Seri Menanti, Kuala Pilah, pada jam 7.15 pagi Khamis ini dibatalkan.



“Majlis Santapan Negeri di Klana Resort di sini, pada jam 7.45 malam 16 Januari ditangguhkan ke tarikh yang akan dimaklumkan,” katanya pada sidang media selepas memperkenalkan pemain Liga Perdana Negeri Sembilan di sini, hari ini.


Mohamad berkata, Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat di Balairong Seri, Istana Besar Seri Menanti, Kuala Pilah, pada Khamis ini, berjalan seperti biasa tetapi tiada majlis santapan tengah hari yang kebiasaan diadakan selepas istiadat itu.


Katanya, beberapa program yang dirancang membabitkan penyertaan orang ramai seperti pertandingan memancing diteruskan.


“Selain masalah kesihatan anakanda Tuanku, langkah ini juga seiring dengan situasi ekonomi yang kurang memberangsangkan dan kerajaan negeri perlu mengamalkan langkah berhemah dalam perbelanjaan,” katanya.


Sementara itu, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan, Datuk Selamat Paigo, meminta semua masjid di negeri ini, mengadakan solat sunat hajat bagi mendoakan kesihatan anakanda baginda.



Anakanda Tuanku Muhriz gering, program Hari Keputeraan diubah

No comments:

Post a Comment

Ads Inside Post

Comments system

Disqus Shortname

Flickr User ID