Tuesday, January 12, 2016

Tubuh tribunal selesai pertikaian antara agama

PEGUAM Syarie, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar.



CYBERJAYA: Tribunal khusus perlu diwujudkan bagi menyelesaikan pertikaian antara orang Islam dan bukan Islam, terutama mengenai masalah perkahwinan antara agama yang kerap menjejaskan anak.


Peguam Syarie, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar, berkata tribunal itu perlu dianggotai hakim mahkamah syariah dan sivil yang akan membuat keputusan bersama demi kepentingan kanak-kanak terbabit.


Beliau yang juga Presiden Majlis Peguam Muslim, berkata pelaksanaan tribunal itu bagaimanapun memerlukan pindaan undang-undang termasuk Perlembagaan Persekutuan, Akta Memperbaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 dan Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984.


“Berdasarkan undang-undang sedia ada, orang Islam tidak boleh memfailkan petisyen di mahkamah sivil dan bukan Islam tidak boleh ke mahkamah syariah.


“Ini menimbulkan masalah dan ia sepatutnya terbuka kepada kedua-dua pihak.


“Bagaimanapun, adalah lebih baik mengelak membawa perkara mengenai keluarga ke mahkamah yang membabitkan prosedur ketat. Isu keluarga perlu diselesaikan secara lebih fleksibel dan tidak formal seperti melalui tribunal,” katanya kepada media selepas menyampaikan syarahan bertajuk ‘Hak Agama dan Kanak-Kanak di Malaysia’ pada Konvensyen Antarabangsa Universiti Islam Malaysia (UIM) 2016 (ICW 2.0) di sini, petang ini.


Zainul Rijal berkata, ada kira-kira 10 kes pertikaian antara agama membabitkan hak penjagaan anak dan beliau sendiri mengendalikan lima kes.


Katanya, isu pertikaian antara Islam dan bukan Islam turut membabitkan isu tanah wakaf yang mengenepikan hak orang bukan Islam, apabila mereka tidak boleh ke mahkamah syariah untuk mengesahkan status tanah diduduki.



Tubuh tribunal selesai pertikaian antara agama

No comments:

Post a Comment

Ads Inside Post

Comments system

Disqus Shortname

Flickr User ID