Tuesday, October 7, 2014

Kena bangun dari mimpi - Kok Chi

Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN
dayne.ghazali@utusan.com.my



KEBERGANTUNGAN kepada muka-muka lama dilihat menjadi punca mengapa kemerosotan dipamerkan oleh kontinjen Malaysia di Sukan Asia 2014 Incheon, Korea Selatan, baru-baru ini.



KUALA LUMPUR - Lima pingat emas yang dibawa pulang dari Sukan Asia 2014 Incheon membuatkan semua pihak perlu bangun daripada mimpi yang indah dan segera menekan butang kecemasan selepas melihat dominasi Malaysia dalam beberapa acara sukan semakin digugat oleh negara-negara lain.


Gesaan itu dibuat oleh Setiausaha Kehormat Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Sieh Kok Chi, yang mengakui Sukan Asia 2014 Incheon menjadi penanda aras dan bukti pembangunan oleh kebanyakan persatuan sukan di negara ini perlu dikaji semula.


Jelas Kok Chi, dia menggariskan peningkatan mendadak hasil kerja keras pembangunan negara-negara pesaing dan terlalu bergantung kepada muka-muka lama dilihat menjadi punca mengapa kemerosotan dipamerkan oleh kontinjen Malaysia di Sukan Asia 2014 Incheon


"Tidak boleh dinafikan prestasi kontinjen negara memang merosot berbanding Sukan Asia di Guangzhou, empat tahun lalu atas faktor peningkatan negara pesaing dan satu lagi, kita tiada perancangan pembangunan atlet berterusan yang boleh mewakili negara di pentas antarabangsa.


"Sebagai contoh dalam acara berbasikal, empat tahun lalu, kita mudah menang dalam acara keirin namun pada temasya di Incheon kali ini, peningkatan ketara ditunjukkan beberapa negara seperti Korea Selatan, Iran dan Jepun.


"Bukannya kita tidak maju cuma bukti jelas menunjukkan tahap persaingan akan sentiasa naik tanpa disedari dan kita kena sentiasa berhati-hati apa yang dirancang oleh negara-negara lain.


"Ini menjadi satu peringatan kepada kita semua cepat berpuas hati apabila meraih sesuatu kejayaan dan persoalannya bagaimana untuk mengekalkannya selepas memenangi sesuatu," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, di sini semalam.


Mengulas mengenai pembangunan atlet, dia menjelaskan atlet-atlet pelapis belum mampu setanding dengan atlet-atlet senior yang menyebabkan harapan terus disandarkan kepada muka-muka lama dalam usaha memburu pingat.


"Kecuali Fatehah Mustapa yang menang pingat perak, kita terus menyandarkan harapan kepada orang-orang lama seperti Josiah Ng, yang telah tiga kali beraksi di Sukan Olimpik, Mohd Edrus Md Yunus yang telah beraksi semenjak 2008 dan Azizulhasni Awang.


"Bagi badminton, ketiadaan atlet yang setanding memberikan cabaran kepada Datuk Lee Chong Wei menyebabkan dia terlalu selesa memegang status pemain nombor satu negara, situasi ini berbeza jika di China kerana Lin Dan sentiasa diberikan cabaran oleh Chen Long.


"Pendedahan atlet-atlet pelapis perlu diseimbangkan dengan tumpuan yang diberikan oleh atlet-atlet senior supaya kita dapat membentuk satu kesinambungan jangka panjang dan tidak terlalu bergantung kepada muka-muka yang sama setiap kali temasya sukan berlangsung," katanya.


Berbicara mengenai sasaran, Kok Chi tidak menafikan beberapa sandaran seperti Chong Wei dan Azizulhasni yang gagal meraih pingat emas menjadi penyebab lapan emas gagal dijangkau.


"Chong Wei sebagai pemain nombor satu dunia sudah tentu kami mengharapkan dia membawa pulang pingat emas, sementara Azizulhasni pula adalah juara bertahan empat tahun lalu, jadi memang realistik emas diharapkan pada mereka berdua.


"Namun apa boleh buat hanya sekadar pingat gangsa dimenangi oleh Chong Wei, sementara Azizulhasni pula gagal atas faktor teknikal selain peningkatan daripada pelumba-pelumba lain," katanya.


Go to Source

No comments:

Post a Comment

Ads Inside Post

Comments system

Disqus Shortname

Flickr User ID