Oleh NURFARHANA MOHAMED
nurfarhana.mohamed@utusan.com.my
Gambar RUSHDI SALLEH
BERSAMA tunjang utama watak wanita, Maudy Koesnaedi sebagai Inggit Garnasih.
TUNJANG utama dalam filem Soekarno, Ario Bayu tidak begitu mengambil pusing tentang pandangan orang lain bahawa dia tidak layak membawa watak Presiden Pertama Indonesia terbabit.
Dia dikecam sebegitu rupa selepas timbul beberapa pertikaian setelah ada pihak merasakan lakonannya itu tiada nilai nasionalis dan seolah-olah tidak bersemangat membawakan watak tokoh yang disanjungi itu.
Ketika berpeluang bertemu empat mata bersama dengan Ario di tayangan perdana filem biografi Soekarno:Indonesia Merdeka di TGV One Utama baru-baru ini, Ario seakan sudah bersedia menjawab semua soalan tatkala diajukan kepada dirinya.
"Setiap hari kita akan belajar banyak perkara baru dalam kehidupan kita. Kenapa saya dinilai seperti tidak patriotik hanya kerana saya kurang memahami sejarah Soekarno?
"Saya tinggal di New Zealand selama lebih 11 tahun, jadi sudah semestinya ada sedikit kelemahan di situ. Tetapi saya tak pernah ambil pusing kerana saya sudah berjaya lakukan yang terbaik demi watak Soekarno berkenaan," katanya.
Ario sentiasa memandang ke hadapan dan tidak pernah sedikit pun kontroversi yang menghimpit dirinya itu mencalar imej lakonannya. Bahkan dia dilihat lebih selesa untuk memberi tumpuan kepada proses pembikinan filem ini yang berlangsung selama 73 hari, tahun lalu.
"Waktu isu ini timbul di Indonesia tahun lalu, saya ambil pendirian untuk berdiam diri sahaja. Komen seperti itu bagi saya seharusnya tidak perlu diberikan apa-apa respon. Lama-kelamaan mereka akan diam sendiri juga.
"Niat saya pada waktu itu hanya mahu menghabiskan semua penggambaran tapi ada sedikit pun terasa di hati kesan daripada komen negatif yang dilemparkan kepada saya," katanya lagi.
Dalam pada itu, Ario turut menyatakan dia tidak pernah memberikan sebarang kenyataan kepada media Indonesia berhubung isu yang berbangkit dan ini merupakan kali pertama dia menjawab dan beri komen tentang perkara terbabit.
Terdahulu, menerusi laporan media Indonesia, anak perempuan Allahyarham Soekarno iaitu Rachmawati Soekarnoputri, meminta pembikinan filem tersebut dihentikan. Ini berikutan dia beranggapan Ario tidak layak memegang peranan sebagai ayahnya.
Menurut laporan itu lagi, Rachmawati bertambah kesal kerana Ario tidak datang bertemu dengannya sebanyak dua kali seminggu yang bertujuan untuk memantapkan lagi sesi lakonan aktor terbabit agar sama seperti ayahnya.
Tambah pelakon berusia 29 tahun ini lagi, demi menghidupkan watak Soekarno atau nama penuh pemimpin terbabit Kusno Soarodiharjo, Ario banyak membuat beberapa kajian sebelum penggambaran bermula.
"Saya ambil pendekatan positif dengan membuat beberapa ulangkaji selama tiga minggu iaitu sebelum mula penggambaran.Saya baca buku, menonton beberapa visual serta membuat kaji selidik secara mendalam mengenai keperibadian Soekarno," tuturnya lagi.
Dia turut menerapkan beberapa formula yang diciptanya sendiri demi hanya mahu dirinya sama seperti seorang tokoh bernama Soekarno meskipun mengakui tugas itu bukanlah satu kerja mudah.
Filem biografi Soekarno:Indonesia Merdeka ini diarahkan oleh pengarah hebat Indonesia, Hanung Bramantyo dan telah menemui penonton di Malaysia mulai 2 Oktober lepas.
Selain Ario, aktres cantik, Maudy Koesnaedi turut berlakon bersama dengannya dan memegang peranan sebagai Inggit Garnasih iaitu merupakan isteri pertama kepada Soekarno.
Filem biografi Bapa Kemerdekaan Republik Indonesia itu menceritakan kehidupan Soekarno sedari kecil khususnya sepanjang pemerintahan beliau menentang penjajahan Belanda dan Jepun sehingga memperoleh Kemerdekaan Indonesia pada 17 Ogos 1945.
Filem ini turut mendapat beberapa pengiktirafan antaranya, Anugerah Filem Terbaik, Pengarah Terbaik dan Pelakon Pembantu Terbaik di Anugerah Festival Filem di Bandung 2014.
Go to Source
No comments:
Post a Comment